print this page

BELIA JANGAN PANDANG TVET KELAS KEDUA





5 November 2015; Kota Tinggi, Johor
Majlis Belia Malaysia (MBM) melahirkan keyakinan tinggi bahawa keseimbangan dalam menghasilkan tenaga mahir yang mencukupi dalam setiap sektor sangat penting kerana mampu memberi impak kepada produktiviti dan daya saing.

Oleh sebab itu, MBM berpandangan perlu ada penyelarasan usa­ha perancangan tersebut de­ngan disokong oleh kementerian dan agensi yang bertanggungjawab dalam sektor masing-ma­sing. Maka, penubuhan Jawatankuasa Kemahiran Industri  yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2016 tempohari dan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah langkah bijak dan tepat dalam melonjakkan pembangunan belia berkemahiran di negara ini.

Sebagai NGO belia terbesar di Malaysia, MBM menerusi Sekretariat 1Belia 1Kemahiran (1B1K) akan terus menggerakkan usaha kesedaran di kalangan belia dan masyarakat agar mengubah stigma pemikiran mereka yang beranggapan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) adalah kelas kedua.

Terbaru, MBM dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menganjurkan pameran KOMPETEN-Belia Johor Terampil 2015 bertempat di Kota Tinggi, Johor. Sebanyak 22 buah institusi latihan kemahiran dan 10 buah industri menyertai pameran ini yang dihadiri lebih 1000 orang pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini.

MBNJ merupakan badan gabungan MBM yang begitu komited dalam menggerakkan usaha kesedaran dan kepentingan TVET di kalangan belia di negeri ini. KOMPETEN-Belia Johor Terampil adalah jenama yang diwujudkan di mana antara pengisiannya berbentuk pameran, ceramah, seminar, bengkel termasuk perlaksanaan pengiktirafan kemahiran terdahulu kepada pekerja industri yang tidak mempunyai apa-apa sijil kelayakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, YB Datuk Dr Adham Baba hadir secara santai beramah mesra dengan para pelajar dan mahukan lebih banyak maklumat tentang TVET di sebarkan melalui gerakan pertubuhan belia. Turut hadir ialah Saudara Manndzri Hj Nasib, Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan Saudara Hasnul Hanif Harun, Exco MBM.

Penyertaan industri dalam pameran ini juga sa­ngat penting dalam membantu menghasilkan tenaga kerja yang produktif. Ini bagi menggalakkan majikan khususnya sektor-sektor berimpak tinggi melatih pekerja secara berterusan untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran mereka.

Sehubungan itu, MBM bertekad membantu kerajaan dalam memperkasakan lagi pembentukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi di institusi latihan kemahiran tempatan. Maka, lebih banyak kerjasama dengan institusi latihan awam dan swasta akan di wujudkan pada tahun 2016 nanti.

MBM juga akan terus menggalakkan para belia khususnya yang tergolong dalam B40 (Kumpulan Bawah 40 (B40) terdiri daripada kira-kira 11.7 juta atau 40% warganegara Malaysia yang hidup dengan pendapatan isi rumah di bawah RM 3,050 sebulan) untuk menilai dan menerima bidang teknikal dan vokasional sebagai peluang kerjaya yang menjamin masa depan dan menawarkan pendapatan lumayan.







































2 ulasan
 
Copyright © 2013. Belia Mahir - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger