BELIA BERKEMAHIRAN SAHUT CABARAN KOMUNITI ASEAN 2015


31 Disember 2014 
Malaysia akan melaksanakan peranannya menerusi pelbagai langkah strategik dalam aliran bebas tenaga kerja mahir seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), kata Pengarah Pemantauan Projek, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Encik Mohamad bin Sulaiman.

Ini termasuk mempermudahkan pengeluaran visa dan pas kerja; peraturan pengiktirafan bersama (MRA) bagi profesional mahir; kesejajaran kemahiran dan kelayakan bagi sektor perkhidmatan; dan mempertingkatkan kerjasama antara universiti dan institusi vokasional serta teknikal ASEAN untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja migran.

“Dalam menangani tenaga kerja mahir yang diperlukan dalam ASEAN, MRA diwujudkan bagi profesional seperti doktor perubatan, doktor gigi, jururawat, jurutera, arkitek, juruukur dan profesional dalam pelancongan.

“Ini bermakna profesional yang berkemahiran tinggi dan mempunyai pengkhususan akan lebih mudah untuk bekerja dalam kerjasama sub-serantau itu,” kata Encik Mohamad.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel pembentang Forum Belia: Celik Komuniti ASEAN 2015 (Peringkat Institusi Latihan Kemahiran) di Johor Bahru anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ).

Forum sehari itu bertujuan membincangkan dapatan awal tentang Komuniti Asean 2015 dan cabaran mendepani golongan belia di Malaysia. Seramai 150 orang hadir dalam forum ini yang julung-julung kali di adakan khusus untuk golongan belia berkemahiran.

Forum ini turut menampilkan Jufitri Joha, Ahli Dewan Tertingi Majlis Belia Malaysiaa yang juga Tokoh Belia ASEAN 2014 yang membentangkan cabaran, prospek dan persediaan belia Malaysia menghadapi Komuniti ASEAN 2015.

“Cabaran utama pastinya ialah pengetahuan dan tahap kesedaran tentang penubuhan inisiatif-inisiatif ASEAN dan kepentingannya serta sokongan masyarakat terhadap pembentukan Komuniti ASEAN. Krisis pengangguran di kalangan belia ASEAN juga satu isu besar termasuklah partisipasi belia dalam proses membuat keputusan”.

“Bagi mengeratkan hubungan serantau di atas platform belia, pastinya gerakan kesukarelaan perlu diperkasakan dengan penubuhan ASEN Youth Volunteer Network, ASEAN Young Professional Volunteer Programmedan MyCorps” kata Jufitri.


Menerusi forum ini, yang pastinya belia berkemahiran tidak terkecuali untuk mempersiapkan diri dan meningkatkan kesedaran mengenai perlaksanaan Komuniti ASEAN 2015.
























































Share this article :

Catat Ulasan

 
Copyright © 2013. 1Belia 1Kemahiran - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger