05/04/14: GAGASAN KOMUNITI ASEAN 2015


Institute For Youth Research (IYRES), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Belia: Gagasan Komuniti ASEAN di Dewan Podium B, KBS Putrajaya yang melibatkan 150 peserta dari Badan-badan gabungan MBM, pertubuhan NGO, agensi-agensi kementerian, IPT, dan individu_individu yang prihatin.

Persidangan ini mendapat perhatian banyak pihak apabila soal isu pembangunan belia berkemahiran dibangkitkan oleh Sdr Rizan Hassan, Exco MBM. Agihan peruntukan yang tidak seimbang antara akademik dan kemahiran serta kekurangan program  peningkatan kemahiran tenaga pengajar turut disentuh oleh beliau. Transformasi dalam erti kata sebenar perlu di lakukan jika negara benar-benar mahukan tenaga mahir negara bersaing di pentas antarabangsa.

Persidangan ini merupakan salah satu dapatan dari Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) supaya penyertaan belia dalam pembentukan Komuniti ASEAN 2015 dapat diupayakan.

Persidangan bertujuan untuk membuka peluang kepada para belia untuk menyuarakan pandangan, maklum balas mahupun reaksi ke arah pelaksanaan Gagasan Komuniti Asean pada tahun 2015. Di samping itu, ia juga merupakan platform penerangan yang baik dan secara tidak langsung bertindak sebagai kempen untuk memberi kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan penyertaan belia dalam pelaksanaan Komuniti Asean pada tahun 2015.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Encik Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, dan turut dihadiri oleh Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden MBM serta Dr Wasitah Hj Mohd Yusof selaku Ketua Pengarah Eksekutif IYRES.

Persidangan pada kali ini menampilkan pembentang-pembentang yang arif dan berwibawa dalam bidang antarabangsa seperti En. Mohd Zamruni Khalid (Timb. Ketua Pengarah Bahagian Hubungan Luar ASEAN), Dato’ Saifuddin Abdullah (Ketua Pegawai Eksekutif (GMMF), Prof. Madya Dr. Jastwan Singh Harnam Singh (Pensyarah, Jabatan Antarabangsa & Kajian Strategik UM), En. Moktar Idham Musa (Ketua Penolong Pengarah AEC), En. Mohd Nizam Mahshar (Ketua Pegawai Eksekutif MTEM), Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Presiden MBM), Sdr Hasnul Haniff Harun (Exco MBM) dan En. Mohd Raimi Abdul Rahimi (Naib Presiden ABIM). Sdr Abu Qassim Nor Azmi, Exco MBM telah berperanan sebagai Pengerusi Sidang bagi sepanjang persidangan ini.

Antara tajuk-tajuk yang dibincangkan ialah ‘Kerjasama ASEAN Serantau Dari Aspek Politik dan Keselamatan’, ‘Prestasi Ekonomi dan Kerjasama Asean Serantau’ dan ‘Memperkukuh Jalinan Hubungan Sosio-Budaya ASEAN Serantau’













Share this article :

Catat Ulasan

 
Copyright © 2013. 1B1K - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger