MBM BERI PELUANG BELIA SERTAI LATIHAN KEMAHIRAN


25 Januari 2014 
Majlis Belia Malaysia menerusi Program 1Belia 1Kemahiran (1B1K) akan terus menggalakkan golongan belia di pelbagai peringkat termasuk yang gagal dalam aliran akademik untuk menyertai latihan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

MBM sebagai badan induk NGO belia di Malaysia turut terpanggil untuk membantu kerajaan dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir yang ramai menjelang tahun 2020. Ianya sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagais ebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, MBM dengan kerjasama Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) akan mempertingkatkan kerjasama dalam program-program yang mendekatkan golongan belia dengan latihan kemahiran.

Terdapat dua pendekatan utama yang MBM galakkan para belia sertai. Pertamanya ialah menerusi Program Persijilan Kemahiran Malaysia di mana pengambilan secara berterusan sepanjang tahun kini di buka kepada para belia untuk menyertai latihan kemahiran dalam pelbagai bidang. Menerusi program ini, pelatih akan menjalani latihan di antara 6 bulan hingga 48 bulan bermula di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 1 hingga 3) dan Diploma Kemahiran Malaysia (Tahap 4) seterusnya Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (Tahap 5). Bantuan pinjaman latihan kemahiran menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan diberikan kepada mereka yang layak.

Pendekatan kedua ialah menerusi kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Pengambilan bagi SLDN juga kini sedang dibuka. SLDN menawarkan 3,000 tempat buat para belia mengisi kekosongan mendapatkan latihan kemahiran. Program yang membabitkan institusi latihan kemahiran dan pihak industri ini adalah percuma di mana tiada yuran latihan dikenakan. Kaedah latihan adalah 80% berorientasikan kehendak industri manakala 20% adalah dikendalikan oleh institusi latihan kemahiran. Kaedah SLDN ini membuka ruang dan peluang buat para pelatih di serap terus bekerja dengan industri yang melaksanakan SLDN. Sepanjang tempoh latihan, elaun akan diberikan termasuk kemudahan-kemudahan lain yang ditentukan oleh pihak industri.

Dua pendekatan di atas adalah suatu usaha serius kerajaan memberi peluang latihan kemahiran kepada semua golongan belia. Stigma bahawa latihan kemahiran adalah kelas kedua buat yang tercicir harus di kikis dan di buang jauh. Masyarakat khususnya ibubapa harus menggalakkan lepsan sekolah menengah merebut peluang latihan yang di tawarkan.

Pada masa yang sama, guru bimbingan kaunseling dan kerjaya harus mendedahkan peluang latihan kemahiran kepada semua anak murid agar mereka bebas membuat pilihan halatuju mereka. MBM juga merancang untuk menganjurkan Jelajah 1B1K bermula Februari 2014 nanti dalam usaha berterusan mempromosikan dan menarik minat belia ke arah latihan kemahiran. Jelajah ini akan melibatkan Majlis Belia Negeri di setiap negeri dengan penglibatan beberapa jabatan dan agensi kerajaan.
  
Para belia yang berminat mengikuti latihan kemahiran di bawah 1B1K bolehlah mendaftar terus secara online di www.mytevt.net atau melayari laman Facebook program ini iaitu 1Belia 1Kemahiran.




























  



















Share this article :

Catat Ulasan

 
Copyright © 2013. 1Belia 1Kemahiran - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger