MBM BANTU JPK GERAKKAN PROGRAM SLDN



9 September 2013
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia akan menganjurkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) secara percuma kepada rakyat Malaysia menerusi program latihan kemahiran industri.

Timbalan Ketua Pengarah JPK, Dr. Abdul Rashid Buyong Hamzah berkata, program bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

"Kali ini JPK menganjurkan 'Program Perantis Masakan' SLDN melibatkan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan restoran Little Wok Kitchen (LWK) bagi melatih golongan belia berkemahiran tinggi dalam bidang masakan.

"Usaha ini dilihat sebagai satu inisiatif kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penglibatan syarikat industri dalam menjana sumber tenaga kerja berkualiti melalui sesi pembelajaran teori dan amali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program SLDN di sini hari ini.

Menurut Abdul Rashid, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja warga asing, di samping menggalakkan golongan muda menceburi latihan vokasional.

"Kesemua kos pembelajaran selama dua tahun akan ditanggung pihak LWK, malah perantis akan diberi elaun sebanyak RM900 setiap bulan selain disediakan tempat penginapan dan pengangkutan.

"Bagi perantis yang berjaya menamatkan tempoh latihan ini, mereka akan diserapkan sebagai pekerja sepenuh masa di LWK dan ganjaran wang tunai tambahan sebanyak RM4,000 seorang akan dihadiahkan sebagai token kecemerlangan sekiranya menepati tahap penilaian syarikat," katanya.

Tambah beliau, selain bidang masakan, JPK turut bekerjasama dengan beberapa syarikat lain dalam pelbagai bidang kemahiran yang akan dijalankan secara berperingkat, antaranya kecantikan, automotif, pelancongan dan jahitan.

"Kita juga menawarkan program latihan dalam bidang-bidang kemahiran lain dan kepada sesiapa yang berminat boleh melayari laman web www.mytevt.blogspot.com kerana penyertaan dibuka sepanjang tahun.

"Kita berharap komitmen yang diberikan restoran LWK menjadi ikutan kepada syarikat di luar sana, seterusnya menyokong usaha menyediakan latihan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan belia," katanya.












Share this article :

Catat Ulasan

 
Copyright © 2013. 1Belia 1Kemahiran - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger